Saturday, December 14, 2019

Ulasan Buku: Arkitek Jalanan

Assalammualaikum 💓

Ulasan buku kalini berjudul Arkitek Jalanan yang merupakan hasil penulisan Teme Abdullah. Buku ini merupakan buku siri kedua dalam Siri Jalanan. Sebenarnya, idea untuk aku menaip pelbagai ulasan buku dalam blog aku ni bermula selepas aku baca buku Arkitek Jalanan tetapi untuk bertindak adil terhadap semua buku yang aku baca pada ketika itu jadi, aku mula membuat ulasan buku dengan buku-buku yang lain juga. Untuk pengetahuan, buku pertama yang aku buat ulasan dalam blog aku ialah buku Sultan Muhammad Al-Fateh (Penakluk Konstantinopel). Aku semak tarikh dalam bulan Mei aku ulas mengenai buku tu jadi, maksudnya dalam bulan Mei laa aku banyak membaca buku-buku lain yang aku ulas masatu juga. 



Buku Arkitek Jalanan ni pun sebenarnya aku dah baca dalam bulan Mei haritu tapi baru berkesempatan nak masukkan ulasan ni dalam blog harini. Walau bagaimanapun, sebenarnya aku dah buat satu ulasan mengenai buku ni dalam satu Microsoft Word dalam komputer riba untuk dihantar ke unit perpustakaan tempat aku belajar haritu. Jadi, aku salin semula laa ya 😉 Aku memang dah menaip sepenuh hati haritu, jangan risau hehehehe dan macam biasa SPOILER ALERT!!!! (ni betul-betul spoiler alert sebab asalnya kan nak hantar dekat unit perpustakaan)


Bil.
Perkara
Catatan
1.
Tajuk Buku:
ARKITEK JALANAN
2.
Pengarang:
TEME ABDULLAH
3.
Tahun diterbitkan:

APRIL 2017
4.
Diterbitkan oleh:
IMAN PUBLICATION SDN BHD
5.
Sinopsis Buku Yang Dibaca:
Buku ini mengisahkan pengalaman penulis (Teme) semasa menuntut ilmu di sebuah universiti di luar negara dalam bidang Arkitek. Buku ini juga merupakan sambungan penceritaan daripada buku Pelukis Jalanan.
Jika buku Penulis Jalanan mengisahkan pengalaman Teme semasa melanjutkan pengajian pada tahun pertama di universiti berkenaan. Arkitek Jalanan pula mengisahkan pengalaman Teme dan rakannya, Ahmad pada tahun akhir pengajian.

Teme berazam untuk mendapatkan Ijazah Kelas Pertama manakala Ahmad lebih berkeinginan untuk bekerja di luar negara. Impian yang ingin dicapai tidak semudah kata-kata yang disampaikan. Tanpa usaha, tidak akan terhasil sebuah kejayaan. Begitulah yang diceritakan dalam buku ini. Ahmad, seorang yang kurang berkeyakinan apabila melibatkan tugasan hasil lukisan tangan namun, Teme banyak mendorongnya dan meyakinkannya bahawa dia mampu untuk melakukannya. Ahmad juga pernah menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan pengajian di situ. Teme, sebagai seorang sahabat sentiasa memberikan nasihat kepada Ahmad kerana dirinya sendiri pernah melakukan kesilapan itu sebelum menuntut pengajian di luar negara.

Tugasan demi tugasan akhir banyak yang dilakukan oleh mereka. Mereka berusaha untuk mendapatkan markah terbaik agar layak mendapat Ijazah Kelas Pertama. Namun, terdapat satu tugasan Teme yang markahnya di luar jangkaan beliau. Ahmad pula berperanan untuk memberikan semangat dan motivasi kepada Teme.

Terdapat satu peristiwa pula, Teme mengorbankan masa cuti beliau untuk menyiapkan projek akhir semester akhir beliau. Pada ketika tugasan itu hampir siap keseluruhannya dan tempoh percutian yang tinggal sedikit, ujian menimpa Teme apabila komputer riba yang mengandungi segala maklumat projek dan tugasan akhirnya rosak kerana Teme terpijaknya. Ahmad yang baru pulang daripada percutian melihat dugaan yang menimpa Teme, Ahmad cuba memberikan sokongan kepada Teme agar beliau tidak berputus asa dan terus mencari jalan. Berbaki masa yang suntuk, Teme tekad untuk menyiapkan projek akhirnya menggunakan tangan. Beliau membeli kertas A0 untuk melakar projek beliau. Usaha Teme dipuji oleh pensyarah yang menilainya.

Pada penghujung pernceritaan, Teme memberitahu keputusan pengajian akhir mereka. Ahmad berjaya mendapat Ijazah Kelas Pertama namun sekali lagi, Teme kecewa kerana beliau tidak berjaya mendapatkan keputusan seperti yang diharapkannya. Beliau menyalahkan dirinya yang membuang masa ketika itu kerana di samping melaksanakan projek akhir beliau juga menulis sebuah buku yang berjudul ‘Pelukis Jalanan’. Beliau membuang manuskrip buku tersebut ke dalam tong sampah. Namun, Ahmad terjumpa manuskrip itu dan bertanyakan kepada Teme kekecewaan yang dihadapinya. Ahmad menekankan kepada Teme bahawa keputusan akhir pengajian mereka bukan segalanya kerana sebenarnya banyak lagi kejayaan yang telah Teme kecapi dan sekiranya Teme tetap berkeras untuk tidak mahu meneruskan menulis buku itu maka, Ahmad akan membuang kembali manuskrip tersebut. Setelah berfikir lama, Teme berjumpa Ahmad semula dan mengubah fikiran untuk menyambung menulis buku ‘Pelukis Jalanan’.

Para pelajar kelas Teme berpeluang untuk ditemu duga dan menempatkan diri untuk bekerja di negara tersebut. Teme dan Ahmad bersiap dengan temu duga tersebut. Sebelum berakhirnya pengajian mereka di sana, terdapat satu pameran diadakan di universiti berkenaan yang memaparkan tugasan-tugasan pelajar tahun akhir yang cemerlang. Teme amat terkejut apabila penulisannya terpilih untuk dipamerkan kerana penulisan beliau itu pernah mendapat gred C pada peringkat awal. Oleh kerana gred yang rendah itu, Teme berusaha keras untuk memperbaiki penulisannya. Teme sememangnya berhasrat agar penulisannya dipamerkan kerana jarang sekali pelajar dari negaranya dapat melakukannya. Dalam penulisan itu juga Teme menyelit nilai-nilai Islam agar diketahui oleh masyarakat luar. Semasa Teme dan Ahmad sibuk memerhati di sekeliling pameran, pensyarah mereka berjumpa mereka dan mengucapkan tahniah kepada Teme. Beliau meminta Teme membuka emel yang telah dihantar kepadanya. Ternyata Teme telah berjaya untuk bekerja di sebuah syarikat di negara tersebut.

Manusia merancang dan Tuhan yang menentukan. Itulah yang terjadi dalam kisah ini. Teme yang berhasrat untuk mendapat Kelas Ijazah Pertama sebaliknya menjadi milik Ahmad manakala, Ahmad yang berhasrat bekerja di luar negara sebaliknya menjadi milik Teme.


6.

Manfaat/
pengajaran yang diperoleh daripada buku yang dibaca:
Terdapat banyak manfaat yang saya perolehi daripada buku ini. Antaranya, buku ini mengajar saya kepentingan bersahabat dengan seseorang yang ikhlas dengan kita. Seseorang yang boleh saling memberikan sokongan, dorongan dan motivasi. Kemudian, buku ini mengajar seseorang untuk tidak berputus asa dan terus berusaha untuk melakukan sesuatu dengan baik. Seterusnya, buku ini megajar kita agar meletakkan matlamat yang tinggi untuk mencapai sesuatu dan bagi mencapai matlamat itu kita perlu berusaha sebaiknya namun, apabila matlamat itu kita tidak berjaya capai, kita harus yakin bahawa ada hikmah di sebalik semuanya. Kita harus percaya kepada rezeki lain yang akan dikurniakan Tuhan. Pengalaman penulis menuntut ilmu di luar negara juga mengajar kita agar bersikap berdikari dan bersyukur dengan apa yang kita miliki.


Kan aku dah kata 😂 Ni betul-betul spoiler. Ok jadi bagi sesiapa yang nak baca ulasan buku Siri Pertama Jalanan iaitu Pelukis Jalanan boleh klik sini ! Pelukis Jalanan aku tak spoiler sangat 😁 

Memandangkan aku ada banyak lipat helaian dekat buku Arkitek Jalanan yang mana petikan ayat yang menarik jadi, aku nak kongsikan beberapa petikan dekat sini.


Kalau kau putus asa dalam berusaha, sampai bila-bila kau takkan mahir. When you're about to give up to learn or master something, remember, everything that is now easy for you was once super tough in the beginning.

Betapa banyak perkara yang kita minta, tetapi kita gagal memperolehinya. Lalu kita sangka, Allah tidak hiraukan doa hamba-Nya. Kita mulai prejudis dan bersangka buruk ke atas inayat Tuhan. Walhal, Dia memakbulkan dengan cara yang terkadang kita tidak perasan. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya, sedang kita tidak tahu. 

 Apakah sama tarafnya seorang yang berharta dan didermakan sebahagian jika dibandingkan dengan seorang miskin yang tidak punya apa-apa melainkan 2 keping syiling, lalu didermakan kesemuanya? Nilai sesuatu amal itu bukanlah pada kuantiti, tetapi pada kualiti sesuatu ibadah.

You're allowed to cry,
You're allowed to squeeze your head,
You're allowed to feel exhausted and rest for a while,
But don't stop. Don't give up. Keep moving...  

"Perkara yang pertama manusia perlu lakukan ialah berdamai dengan dirinya sendiri. Dia perlu terima hakikat yang dirinya mempunyai keburukan. Dirinya tidak selalu hebat. Barulah dia akan mula berdamai dengan orang sekelilingnya. Barulah dia boleh membawa mesej damai kepada dunia. Islam itu bermaksud damai. Bila kita dah berdamai dengan diri, kita akan berdamai dengan Tuhan.
Ada pendakwah yang kita lihat dia berperang, kita lihat dia luka berdarah. Tapi hakikatnya, hatinya damai. Ada pendakwah pula kita lihat tenang, jualan buku dakwahnya laris, dijemput ke san sini memberi ceramah. Tetapi jiwanya tidak tenteram. Dia bertarung dengan kerisaunya pada manusia.
Tiap-tiap hari dia buka Facebook, belek Twitter, baca e-mel dengan kerisauan, akan ada orang menentang dirinya. Dia risau orang mengumpat tentang dirinya. Dia risau orang tidak melihat dirinya sebagai orang yang baik. Orang seperti ini, dia belum lagi menjumpai damai. Lalu dia dedikasikan perjuangannya untuk menunjukkan dialah pendakwah sejati. Bukan nak tunjuk Islamlah agama yang sejati. Dia nak tunjuk dia tidak salah. Bukan nak tunjuk agama yang tidak salah."

"Teme, how do we produce great work?"
"Enjoy the process! Haha."

Itu sahaja yang aku nak berkongsi mengenai buku ni. Lebih banyak sikit dekat buku ni sebab aku memang sangat suka buku ni, secukup rasa! In Shaa Allah, lepasni aku kongsi ulasan buku yang lain pula. Assalammualaikum 😊 

No comments :